Jumaat, 31 Oktober 2008

Buang mentaliti 'silo': Raja Nazrin

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menyeru rakyat membuang mentaliti 'silo' iaitu hanya melihat apa yang berlaku dan tidak mempedulikan apa yang dialami orang lain, kecuali apa yang berlaku terhadap diri sendiri.

Dalam keadaan sekarang, baginda bertitah, mereka tidak lagi boleh menggubal dasar, undang-undang dan peraturan yang bersifat menindas serta tidak beretika.

“Dalam hal ini, beta yakin, prinsip yang bersifat inklusif perlu dijunjung tinggi. Tidak sepatutnya ada mana-mana kelompok masyarakat yang tidak dihormati, dipandang sangsi dan dinafikan hak mereka sebagai rakyat.

"Tidak sepatutnya ada mana-mana kumpulan berasa usaha dan sumbangan mereka dipandang remeh dan tidak diperlukan,” titah baginda semasa menyampaikan ucapan khas pada Persidangan LawAsia Ke-21 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Raja Nazrin bertitah langkah melaksanakan prinsip itu antara cabaran paling besar yang mendepani pemerintah hari ini, dan pada pendapat baginda, tiada cara yang lebih berkesan bagi menzahirkan prinsip bersifat inklusif selain melalui amalan pemerkasaan.

“Hanya melalui pembangunan inklusif sajalah kita akan dapat menikmati hasil yang berkekalan,” titah baginda. - Bernama (berita harian)

Tiada ulasan: