
PUTRAJAYA: Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjejas pencapaian murid dalam mata pelajaran bahasa Melayu, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata analisis awal keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam mendapati, terdapat peningkatan signifikan dalam nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi mata pelajaran itu berbanding lima tahun lalu.
“Jadi kebimbangan sesetengah pihak bahawa PPSMI menjejaskan pencapaian murid dalam mata pelajaran bahasa Melayu adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hishammuddin berkata GPMP bagi bahasa Melayu (BM) pemahaman bagi Sekolah Kebangsaan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.07 peratus sementara BM penulisan pula meningkat sebanyak 0.06 peratus.
Beliau berkata GPMP turut meningkat bagi mata pelajaran BM Penulisan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil iaitu sebanyak 0.11 peratus.
Justeru, Hishammuddin berkata langkah tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan untuk mengubah dasar PPSMI adalah wajar kerana sekurang-sekurangnya murid diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka setelah melalui dasar PPSMI selama enam tahun. - Bernama (berita harian)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan