Rabu, 24 Jun 2009

laporan berita harian-23/6/2009

Siswi UKM maut dikejar 'lembaga'
Oleh Petah Wazzan Iskandar Mokhtar
wazzan@bharian.com.my


TEMPAT kejadian Wan Siti Farihan yang terjatuh dari tingkat empat asrama Kolej Pendeta Za'ba, UKM, Bangi.

KAJANG: Seorang siswi sarjana sains kimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, ditemui mati di kawasan letak kenderaan Blok C, Kolej Kediaman Pendeta Za'ba awal pagi semalam, dipercayai terjatuh dari tingkap biliknya di tingkat empat bangunan itu selepas dikatakan dikejar satu lembaga.

Mayat Wan Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, yang lengkap berpakaian kemeja T kuning dan berkain batik ditemui oleh seorang tukang sapu di depan pintu laluan utama kolej itu, dalam keadaan mengiring dan muka lebam serta mulut berdarah, kira-kira jam 7 pagi.

Sehingga kini, polis masih menyiasat punca kejadian, tetapi cerita mengenai gangguan lembaga itu kini tersebar dan menjadi perbualan ramai pelajar di kolej berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood, bagaimanapun berkata tiada bukti atau saksi yang boleh mengesahkan mangsa terjatuh selepas dikejar lembaga itu.

"Beberapa pelajar di kolej itu, termasuk rakan sebilik mangsa yang disoal siasat polis mengaku tidak mengetahui mengenai kejadian itu kerana mereka tidur.

"Bagaimanapun, kita akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut, termasuk kemungkinan mangsa menghadapi tekanan," katanya ketika dihubungi.

Shakaruddin berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat pelajar tahun satu itu.

Mangsa yang bekerja sambilan sebagai pembantu penyelidik di UKM, dipercayai terjatuh dari tingkap biliknya beberapa jam sebelum ditemui berdasarkan keadaan mayatnya yang masih berdarah.

Mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan UKM (PPUKM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di kampungnya di Jalan Long Yunus, Padang Bongor, Pangkalan Chepa, Kelantan.

Shakaruddin berkata, hasil bedah siasat mendapati tulang rusuk kiri mangsa patah dan menyebabkan pendarahan dalaman.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah ketika meluangkan masa setengah jam menemui keluarga mangsa di PPUKM, berkata pihaknya bersimpati dengan kejadian itu.

"Kita akan melihat hasil bedah siasat sebelum sebarang keputusan dapat dilakukan," katanya.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, beberapa hari sebelum kejadian itu, Wan Siti Farihan berkelakuan pelik, termasuk mengikuti kelas agama di Serdang dan sering mengaji, berzikir serta melakukan solat sunat.

"Farihan juga selalu berjaga malam kerana mendakwa tidak dapat tidur. Saya yang kenal dengan dia sejak zaman sekolah rendah, percaya ia tiada kaitan dengan percintaan kerana dia tidak mempunyai teman lelaki.

"Tiga jam sebelum kejadian, Farihan bangun dan memaklumkan ingin ke tandas. Saya tidak syak sesuatu yang dan terus tidur sebelum terkejut apabila dimaklumkan Farihan ditemui terbaring di kawasan letak kenderaan ketika hendak menunaikan solat subuh," katanya.

laporan kosmo- 24/6/2009

Pelajar UKM mati jatuh kolej


ANAK panah menunjukkan tempat Siti Farihan ditemui mati di Kolej Kediaman Pendeta Za'ba di UKM, Bangi semalam.


Wan Siti Farihan

KAJANG - Seorang pelajar Ijazah Sarjana ditemui mati dalam keadaan mengiring di tempat letak kenderaan di Kolej Kediaman Pendeta Za'aba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi dekat sini semalam.

Pelajar tersebut dipercayai terjatuh dari tingkat empat Kolej Kediaman Pendeta Za'aba, UKM pagi semalam.

Mayat Wan Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, dari Kelantan yang merupakan penuntut semester satu jurusan Sains Kimia itu ditemui oleh seorang tukang sapu pada pukul 7 pagi.

Ketika ditemui, mangsa lengkap berpakaian dengan kemeja T dan memakai kain sarung.

DUA saudara Siti Farihan tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu mayatnya di Rumah Mayat HUKM semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, seorang tukang sapu yang kebetulan membersihkan kawasan itu ternampak mayat mangsa sebelum menghubungi polis.

"Mangsa dipercayai terjatuh dari beranda bilik kolejnya di tingkat empat.

"Pemeriksaan fizikal mangsa ditemui ada kesan lebam pada muka Siti Farihan dipercayai akibat hentakan yang kuat," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

laporan metro- 24/6/2009

Petanda tak boleh tidur
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my


BANGI: Seorang pelajar Sarjana Sains Kimia yang mengadu tidak boleh tidur kepada rakannya beberapa hari lalu ditemui mati, dipercayai terjatuh dari tingkat empat biliknya di Kolej Pendeta Zaba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Mayat Wan Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, ditemui seorang pencuci bangunan kira-kira jam 7 pagi dalam keadaan mengiring dengan sedikit kesan darah pada hidung dan mulutnya walaupun terjatuh pada ketinggian lebih 10 meter.

Rakannya yang enggan dikenali, berkata mangsa berkelakuan aneh sejak beberapa hari lalu kerana mendakwa tidak dapat tidur.

“Biarpun didesak, arwah langsung tidak memberitahu masalah dihadapinya. Jika hendak dikatakan arwah mengalami masalah percintaan, dia sememangnya tidak bercinta.





“Saya cukup yakin kerana sudah mengenalinya lebih dua tahun lalu,” katanya .

Menurutnya, dua hari lalu, arwah memberitahu sudah mendaftar untuk mengikuti kelas agama di Serdang kerana mendakwa ingin mendalami ajaran Islam.

“Inilah hasratnya yang belum tercapai,” katanya.

Difahamkan, mangsa meninggalkan biliknya kira-kira jam 4 pagi dengan memakai kemeja-T dan berkain batik tanpa memaklumkan kepada teman sebiliknya itu.

“Pada mulanya saya sangkakan arwah hendak ke tandas, namun tidak pulang sehingga jam 5 pagi. Oleh itu, saya menganggap arwah ke bilik rakan lain untuk berbincang mengenai tugasan.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 7 pagi selepas penghuni lain heboh menceritakan mengenai penemuan mayat Farihan,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut melihat seluruh tubuh Farihan sudah pucat dan pada bahagian hidung serta mulutnya terdapat sedikit darah.

Mayatnya dihantar ke Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Difahamkan, seorang daripada rakan baik Farihan menghubungi ahli keluarganya untuk memberitahu kejadian itu.

Jenazah mangsa akan dibawa pulang ke Padang Bongor, Pengkalan Chepa, Kelantan, untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kita akan membuka kes ini mengikut Laporan Kematian Mengejut sementara menanti laporan lengkap bedah siasat.

“Sekiranya laporan bedah siasat menunjukkan terdapat unsur jenayah, kita akan membuka semula kertas siasatan,” katanya.

Selasa, 23 Jun 2009

TAKZIAH BUAT KAUM KELUARGA DAN UKM

Pelajar ditemui mati di kolej UKM
23/06/2009 3:01pm

KUALA LUMPUR 23 Jun — Seorang pelajar wanita ditemui mati berhampiran tempat meletak kereta di Kolej Kediaman Za’aba, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Shakarudin Che Mood berkata mangsa, Siti Farihan Mohd Hassan, 23, ditemui tertiarap oleh seorang tukang sapu kira-kira 7 pagi.

“Seorang tukang sapu yang kebetulan sedang membersihkan kawasan itu ternampak mayat Siti Farihan sebelum menghubungi polis.

“Siasatan awal polis mendapati terdapat kesan lebam pada muka Siti Farihan dipercayai akibat hentakan yang kuat. Dia dipercayai terjatuh dari beranda biliknya yang terletak di tingkat empat bangunan lima tingkat itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata polis tidak menemui sebarang kesan geledah di bilik mangsa dan polis juga telah mengambil keterangan dari rakan sebilik Siti Farihan.

Mangsa yang berasal dari Kelantan ialah pelajar peringkat sarjana jurusan Sains Kimia. - Bernama